Senin, 31 Desember 2012

PALESTIN - Rundingan Damai 20 Tahun Buang Masa


RAMALLAH 30 Dis. - Setiausaha Agung Liga Arab, Nabil Elaraby semalam berkata, rundingan damai antara Palestin-Israel sejak hampir dua dekad lalu merupakan sesuatu yang membuang masa.
Beliau berkata, Palestin dalam tempoh terdekat akan mengemukakan cadangan berhubung penubuhan sebuah negara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

‘‘Kita akan kembali ke Majlis Keselamatan PBB untuk mengemukakan cadangan itu. Palestin akan bekerjasama dengan negara-negara anggota Liga Arab dan Kesatuan Eropah (EU) untuk mengubah keadaan.
‘‘Proses pelan damai yang berlangsung sejak 20 tahun lalu merupakan sesuatu yang membuang masa,’’ katanya selepas bertemu pemimpin Palestin di sini.

Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada bulan lepas mengiktiraf Palestin sebagai negara pemerhati bukan anggota dalam badan dunia itu.
Bagaimanapun, Palestin gagal mendapat sokongan berhubung cadangan penubuhan sebuah negara di Majlis Keselamatan PBB.

Kenyataan Elaraby yang menyebut EU dan negara lain, mungkin membawa maksud meminta masyarakat antarabangsa campur tangan dan mengemukakan penyelesaian dalam konflik Palestin-Israel.
Rundingan damai tersebut gagal sejak 2008 selepas Palestin menggesa Israel menghentikan pembinaan penempatan haram di kawasan yang akan dijadikan ibu negara Palestin.

Israel pula menegaskan isu pembinaan penempatan haram dan isu utama lain diselesaikan dalam rundingan tersebut. - AGENSI

0 komentar: