Selasa, 11 Desember 2012

PALESTIN: Isu penempatan, Abbas ikrar ambil tindakan

ANKARA 11 Dis. - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semalam berikrar akan mengambil tindakan sewajarnya jika Israel meneruskan rancangan membina 3,000 unit rumah baharu peneroka haram Yahudi di timur Baitulmaqdis.

"Jika rancangan itu menjadi kenyataan, kami akan mengambil tindakan melalui kaedah lain,'' katanya di Parlimen Turki dalam rangka lawatan dua harinya ke negara ini.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan tindakan yang akan diambil.
Abbas berkata, tindakan meneruskan pembinaan penempatan haram itu diambil rejim Zionis berkenaan sebagai 'menghukum' rakyat Palestin.

Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada bulan lalu mengiktiraf resolusi yang menaik taraf Palestin sebagai negara pemerhati bukan anggota badan dunia itu.
Israel mengkritik pengiktirafan tersebut sebagai satu halangan dalam mencapai keamanan dan mendedahkan rancangan pembinaan 3,000 buah rumah tersebut.

Abbas berkata, pihaknya mahu membuka ruang bagi mencapai keamanan dan membina sebuah negara yang bebas.
"Kami baru berada di permulaan dan perjalanan masih panjang, tetapi kami berada di landasan yang betul,'' katanya dalam ucapan yang diterjemahkan daripada bahasa Arab.
Lawatan Abbas ke Turki merupakan yang pertama selepas pengiktirafan PBB tersebut. - AFP

0 komentar: