Rabu, 28 November 2012

MALAYSIA - Kempen Bebas Tahanan ISA Diteruskan


KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) meneruskan kempen bagi membebaskan semua tahanan ISA, biarpun akta itu diumumkan akan dimansuhkan, Sept tahun lalu.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata antara kempen yang akan dilakukan mereka ialah menyerahkan kad ucapan untuk tahanan ISA kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, sehingga hari ini, pihaknya telah berjaya mengumpulkan 10,000 kad ucapan daripada orang awam bagi menuntut pembebasan tahanan.

Kad ucapan tersebut, katanya akan diserahkan kepada KDN pada penghujung Disember ini.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media yang diadakan di Dewan Himpunan Cina, hari ini.

Selain kempen kad ucapan tersebut, peguam GMI juga akan mengadakan lawatan ke Kem Tahanan Perlindungan (Kemta), esok bagi mendapatkan maklumat terkini tahanan ISA.

"Para peguam kami akan bertemu dengan seorang tahanan warga Iraq, Sammi Hammood yang telah melancarkan mogok lapar sejak lawatan peguam pada 29 Okt lepas," kata beliau.

Dalam masa sama, kata beliau pihaknya mengambil berat nasib keluarga-keluarga tahanan ISA yang menderita apabila ahli keluarga mereka ditahan.

Sehubungan itu, pihaknya telah menubuhkan GMI Tawau selepas mengadakan lawatan ke sana bagi menemui lapan keluarga tahanan akta kejam itu.

"GMI Tawau ini akan bertindak sebagai penghubung dan pemudahcara bagi membolehkan segala aktiviti GMI dapat dilaksanakan dalam kalangan masyarakat setempat, selain tujuan utama untuk menjaga kebajikan keluarga tahanan," tegas Syed Ibrahim.

Katanya, hasil dari lawatan tersebut, GMI mendapati kebanyakan keluarga mangsa menghadapi kesukaran kerana ketiadaan ketua keluarga.

Bagi memastikan kebajikan keluarga ini terbela, GMI bertindak melancarkan kutipan dana bagi membantu keluarga tahanan ISA, termasuk pembiayaan pendidikan anak-anak mangsa.

Bagi sesiapa yang prihatin dan ingin memberikan sumbangan, ia boleh disalurkan atas nama Bendahari GMI, Nashita Md Nor di nombor akaun 1622-0993-9776 (Maybank).
 
sumber

0 komentar: