Kamis, 11 Oktober 2012

TURKI tahan pesawat SYRIA


KAPAL terbang penumpang Syria yang dipintas oleh pesawat tempur Turki sebelum dipaksa mendarat di lapangan terbang Esenboga, Ankara, kelmarin. - REUTERS 
 
 
ISTANBUL 11 Okt. - Pesawat pejuang Turki memintas pesawat penumpang Syria dan memaksanya mendarat di lapangan terbang Ankara, dekat sini, semalam kerana disyaki membawa senjata dan peralatan ketenteraan.
Tindakan itu dilihat turut meningkatkan lagi ketegangan antara kedua- dua negara itu serta mencetuskan kebimbangan terhadap konflik serantau.
Pesawat Airbus A320 Syrian Air itu dalam perjalanan dari Moscow ke Damsyik membawa kira-kira 37 penumpang, sebelum dipintas oleh jet pejuang F16 Turki, ketika ia berada di ruang angkasa Turki, menurut laporan televisyen milik kerajaan, TRT.
Beberapa jam kemudian, Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu berkata, pesawat penumpang tersebut dibenarkan berlepas pulang, tetapi kargo pesawat itu dirampas.
''Terdapat beberapa kargo yang tidak mengikut peraturan penerbangan awam,'' kata Ahmet yang dipetik oleh Anadolu Agency.
Pesawat milik Syria itu dipintas selepas beberapa jam Ketua Turus Tentera Turki memberi amaran bahawa tentera negaranya akan memberi tentangan sengit sekiranya wilayah Turki terus dibedil tentera Presiden Syria, Bashar al-Assad.
''Kami bertekad untuk mengawal aktiviti pemindahan senjata kepada tentera Assad yang dipercayai telah melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyatnya,'' kata Ahmet.
''Kami tidak dapat menerima sekiranya ruang udara kami digunakan bagi tujuan itu," katanya.
Pihak berkuasa Turki, bagaimanapun enggan mendedahkan butiran peralatan yang dirampas dari pesawat itu.
Akhbar Hurriyet di dalam laman webnya yang memetik pegawai perisik melaprokan barangan kargo itu adalah peralatan telekomunikasi, set tanpa wayar dan 'jammer'.
Televisyen NTV, pula melaporkan beberapa 'peralatan peluru berpandu' ditemui di dalam bahagian kargo pesawat itu.
Ekoran insiden tersebut, syarikat penerbangan Turkish Airlines turut menggantung semua penerbangan yang menggunakan ruang udara Syria selama empat hari sehingga ketegangan antara kedua-dua negara kembali reda. - REUTERS/AGENSI

0 komentar: