Sabtu, 13 Oktober 2012

Isu SYRIA-TURKI, utusan PBB ke Istanbul


DAMSYIK 13 Okt. - Utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)-Liga Arab, Lakhdar Brahimi tiba di Istanbul hari ini bagi mengadakan rundingan dengan pegawai Turki ketika ketegangan antara Damsyik dan Ankara semakin meningkat ekoran penahanan pesawat penumpang Syria.
Lawatan Brahimi menyusul beberapa hari selepas Turki mendakwa mereka menemukan kelengkapan tentera Rusia pada pesawat penumpang Syria yang ditahan di Ankara, Rabu lalu.
Dua negara berjiran itu saling berbalas serangan melepasi sempadan masing-masing sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa Turki akan terjerumus dalam konflik antara kerajaan Syria dengan pemberontak.
Utusan khas PBB itu yang sebelum ini telah mengadakan perbincangan di Arab Saudi awal minggu ini, dijadual bertemu Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu.
Malah, terdapat juga laporan yang mengatakan Brahimi akan melawat Syria minggu depan.
Buat masa ini, Brahimi masih belum mengemukakan pelan damai bagi menghentikan pertumpahan darah di Syria.
Lawatan Brahimi ke Turki dibuat selepas perikatan pembangkang, Majlis Kebangsaan Syria (SNC) menangguhkan mesyuarat yang menyasarkan untuk memasukkan satu lagi sayap baru pemberontak ke dalam blok mereka yang dijadualkan diadakan 17 Oktober ini.
Sementara itu, Pemantau Hak Asasi Manusia Syria melaporkan, sekurang-kurangnya 24 orang dilaporkan terbunuh di seluruh negara, hari ini.
Menurut mereka, pesawat perang tentera kerajaan Syria mengebom kawasan yang dikuasai pemberontak di wilayah utara Idlib.
Semalam, pemberontak mendakwa mereka telah menawan pangkalan tentera udara tentera Syria berhampiran bandar timur Aleppo. - DPA

0 komentar: