Senin, 24 September 2012

Lebih 2,000 askar SYRIA berpaling tadah ke JORDAN


AMMAN 24 Sept. - Lebih 2,000 tentera Syria berpaling tadah ke Jordan sejak konflik melanda negara itu pada tahun lalu, kata komander pengawal sempadan dalam satu kenyataan, hari ini.
"Bilangan pelarian Syria yang memasuki sempadan Jordan sehingga Rabu lalu melebihi 74,000 orang dan daripada jumlah itu 2,053 orang adalah tentera pelbagai pangkat,'' kata Brigadier Jeneral, Hussein al-Ziyud yang memberitahu akhbar al-Dustour.
Ziyud berkata, askar tersebut telah dibawa ke tempat khas dengan kawalan istimewa.
Katanya, kebanyakan mereka ditembak ketika cuba memasuki negara ini.
"Keadaan ini mendorong tentera Jordan mengambil langkah berhati-hati menguruskan situasi yang berlaku di Syria,'' katanya.
Menteri Luar, Nasser Judeh berkata, awal bulan ini lebih 200,000 orang pelarian Syria memasuki sempadan Jordan sejak berlaku pemberontakan menentang Presiden Bashar al-Assad, 18 bulan lalu.
Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan seramai 85,197 pelarian berdaftar kini berada di Jordan, manakala 35,961 orang lagi sedang menunggu proses kemasukan.
Syria dan Jordan berkongsi sempadan sepanjang 370 kilometer, yang menjadi pintu masuk penduduk Syria ke negara ini dengan berjalan kaki bagi mengelakkan keganasan di negara mereka.
Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia berkata, sekurang-kurangnya 29,000 orang terbunuh sejak konflik tercetus, manakala PBB pula meletakkan jumlah kematian seramai 20,000. - AFP

Sumber

0 komentar: