Senin, 24 September 2012

FSA dakwa kuasai kebanyakan kawasan SYRIA


Imej video daripada YouTube, kelmarin merakamkan ketua FSA, Riad al-Asaad (tengah) membacakan kenyataan dari lokasi yang dirahsiakan di Syria mengumumkan ibu pejabat tentera pemberontak di Turki telah dipindahkan ke 'kawasan bebas' di Syria. - AFP 
 
ATMA, Syria 23 Sept. - Kumpulan pemberontak bersenjata, Tentera Pembebasan Syria (FSA), hari ini mendakwa mereka telah berjaya menguasai kebanyakan kawasan di Syria.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas ketua FSA, Riad al-Asaad mengumumkan ibu pejabat tentera pemberontak di Turki dipindahkan ke 'kawasan bebas' di Syria.
Seorang komander FSA, Kolonel Ahmed Abdel Wahab berkata, hanya penguasaan udara oleh tentera kerajaan merupakan satu-satunya faktor yang menghalang mereka daripada menguasai kawasan ibu negara Damsyik.
''Kami mengawal hampir seluruh kawasan di negara ini dengan kebanyakan tempat, tentera kerajaan 'berkubu' dalam berek mereka sahaja dan hanya sedikit tentera yang keluar, sekali gus membolehkan FSA bergerak bebas kecuali di Damsyik,'' katanya.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dan Utusan Khas badan itu ke Syria, Lakhdar Brahimi yang mengadakan perbincangan, semalam bersetuju krisis di negara ini adalah 'satu ancaman yang semakin meningkat bagi keamanan dan kestabilan serantau'.
Brahimi yang dilantik awal bulan ini dijangka memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB esok, tentang pusingan pertama rundingannya dengan kerajaan Bashar al-Assad dan kumpulan pembangkang.
Dalam pada itu, pemerhati berkata, tentera kerajaan mengebom banyak kawasan yang dikuasai pemberontak termasuk di Damsyik, Aleppo di utara, Idlib, pusat bandar Hamna dan Homs serta Daraa di selatan.
Seorang wartawan AFP di Aleppo, medan pertempuran utama sejak dua bulan lalu melaporkan tentera kerajaan berbalas-balas tembakan dengan tentera pemberontak di Bustan al-Qasr dan kawasan kediaman Bustan al-Zahraa.
Menurut pemerhati pula, sekurang-kurangnya 150 orang terbunuh di seluruh Syria, semalam termasuk 88 orang awam, 30 tentera pemberontak dan 32 lagi tentera kerajaan. - AFP

Sumber

0 komentar: