
Penduduk Yemen membakar bendera AS semasa mengadakan tunjuk perasaan di luar Kedutaan Amerika di Sanaa, semalam sebagai bantahan terhadap penerbitan filem yang menghina Nabi Muhammad di Amerika. - AFP
Seramai 13 orang cedera apabila polis menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang bertindak melempar batu dan botol ke arah pasukan keselamatan di luar Kedutaan Amerika, di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Mesir, Mohammed Mursi mengutuk penerbitan filem itu dan mengecam tindakan keganasan oleh penunjuk perasaan ke atas Kedutaan Amerika Syarikat di Kaherah.
"Rakyat Mesir menolak sebarang penghinaan terhadap Nabi kita. Saya mengutuk perbuatan mengutuk Nabi kami," kata Mursi yang disiarkan melalui televisyen negara berhubung filem kontroversi itu.
"(Tetapi) menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi tetamu kita dari luar negara," katanya semasa lawatan di Brussels.
"Saya menyeru semua orang jangan melanggar undang-undang Mesir... jangan menyerang kedutaan-kedutaan," katanya, merujuk kepada tindakan penduduk Mesir menyerang Kedutaan AS di Kaherah, kelmarin dan menurunkan bendera AS dan menggantikan dengan bendera Islam.
Mursi turut mengutuk pembunuhan Duta AS dan tiga warga AS di Benghazi, Libya, kelmarin berhubung insiden yang sama.
Di Yemen, beratus-ratus penunjuk perasaan menyerbu Kedutaan AS di Sanaa menyebabkan pengawal keselamatan terpaksa melepaskan tembakan ke udara untuk menyuraikan keadaan, kata saksi.
Saksi berkata, seorang penunjuk perasaan terbunuh selepas terkena tembakan pasukan keselamatan dan 15 lagi dilaporkan cedera.
Saksi berkata, penunjuk perasaan memecahkan tingkap pejabat keselamatan di luar kedutaan itu sebelum memecah masuk ke dalam bangunan tersebut.
Sementara itu, Presiden Yemen, Abed Rabbo Mansour Hadi memohon maaf kepada Presiden Barack Obama ekoran serangan ke atas Kedutaan AS di Sanaa, ibu negara Yemen, oleh penduduk yang mengadakan tunjuk perasaan membantah filem tersebut.
Mansour juga mengarahkan penyiasatan dijalankan berhubung serangan ke atas Kedutaan AS itu.
Di Bangladesh, kira-kira 1,000 penunjuk perasaan, kebanyakannya pelajar Islam mengadakan bantahan di Dhaka dengan membakar bendera AS.
Penunjuk perasaan turut melaungkan slogan anti AS serta memukul bendera AS menggunakan kasut sebelum membakarnya dihadapan Masjid Baitul Mokarram.
Dalam pada itu, berpuluh-puluh rakyat Palestin membakar bendera AS dan melaungkan 'Amerika Pergi Mampus' dalam demonstrasi di Genting Gaza, semalam.
Penunjuk perasaan turut dilihat membawa pedang dan bendera berwarna hitam.
Di LIBYA, pihak berkuasa Libya telah menahan beberapa orang berhubung serangan ke atas bangunan konsulat AS di Benghazi, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, hari ini.
"Kementerian Dalam Negeri dan Kehakiman telah memulakan siasatan dan mengumpul bukti dan beberapa orang telahpun ditahan," kata Wanis al-Sharif.
Namun, beliau enggan menyatakan identiti dan jumlah mereka yang ditahan. - AP/Reuters/AFP
Sumber






0 komentar:
Posting Komentar