Minggu, 08 Juli 2012

SYRIA - Misi Keamanan Gagal

DAMSYIK 8 Julai - Wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)-Liga Arab, Kofi Annan, mengakui misi beliau untuk membawa keamanan di Syria setakat ini gagal ketika lebih 60 orang maut dalam keganasan di seluruh negara ini, semalam.

Dalam kenyataannya yang disiarkan oleh akhbar Perancis, Le Monde, Annan dipetik sebagai berkata, usaha penting telah diambil untuk cuba menyelesaikan krisis Syria secara aman dan politik.

Namun, rancangan itu tetap tidak berjaya dan mungkin tidak ada jaminan bahawa ia akan membawa hasil, menurut beliau.

Pelan Annan yang tertumpu kepada menghentikan keganasan daripada semua pihak hanya menunjukkan sedikit perkembangan dan aktivis menyatakan, lebih 17,000 orang telah terkorban sejak kebangkitan rakyat tercetus pada Mac tahun lalu di negara ini.

Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu turut membicarakan mengenai kepentingan Rusia yang merupakan sekutu Damsyik, yang sering menyekat tindakan antarabangsa ke atas rejim Presiden Bashar al-Assad.

Beliau turut menekankan bahawa Iran perlu terlibat dalam sebarang dialog untuk membawa keamanan di Syria.

Annan juga berkata, Iran yang juga merupakan sekutu Syria, mempunyai peranan dalam usaha menamatkan krisis di Syria walaupun mendapat tentangan dari Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, tentera Syria membedil pekan-pekan di utara wilayah Aleppo semalam dan dilaporkan sekurang-kurangnya 60 orang maut di seluruh Syria, menurut pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.

"Tentera rejim cuba untuk menawan semula wilayah Aleppo selepas mereka mengalami kekalahan besar sepanjang beberapa bulan lalu.

"Sejumlah besar penduduk juga dipindahkan dari kawasan itu kerana bimbang dengan bedilan dan krisis kekurangan bekalan air, elektrik dan perkhidmatan perubatan," kata pertubuhan itu. - AFP

sumber

0 komentar: