Minggu, 08 Juli 2012

MOROCCO Kecoh Isu Kebebasan Seks

RABAT 8 Julai - Gesaan seorang imam radikal Magribi yang mahu hukuman mati dijatuhkan ke atas seorang wartawan yang mempertahankan kebebasan seksual, telah mencetuskan perdebatan hangat antara pergerakan Islam dengan sekular di negara ini.

Abdellah Nhari, seorang imam di wilayah Oujda, timur laut Maghribi, yang dikenali dengan kenyataan kontroversinya, mengisytiharkan Elmokhtar Laghzioui sebagai dayus dalam khutbah beliau baru-baru ini.
Nhari membuat kenyataan itu ketika memberi reaksi kepada tindakan Laghzioui dalam satu siaran televisyen satelit yang mempertahankan kebebasan seksual.

Kira-kira 100 wartawan turut mengadakan bantahan dengan duduk di luar ibu pejabat akhbar tempat Laghzioui bekerja pada Khamis lalu bagi membantah komen Nhari itu dan menyuarakan sokongan mereka kepada kebebasan bersuara.

Nhari turut bertegas bahawa kenyataannya itu tidak mempunyai unsur-unsur gesaan yang mahu wartawan itu mati.

Namun, pendakwa raya awam di Oujda telah mengarahkan satu inkues undang-undang dibuat berhubung kes tersebut, sekali gus memarakkan perdebatan berhubung kebebasan seksual yang tercetus semula selepas penayangan filem yang menyokong kebebasan untuk wanita bulan lalu.

Kebanyakan pergerakan sekular kebebasan seksual di Magribi mahu melihat pemansuhan artikel 490 yang memperuntukkan hukuman penjara satu tahun dan satu bulan kepada sesiapa yang ditangkap melakukan seks luar nikah.

Pada hakikatnya, hubungan seks tanpa ikatan perkahwinan adalah satu perkara biasa di Magribi dan secara meluas mendapat kompromi.

Namun bagi pergerakan Islam pula, mereka tetap mengecam gesaan kebebasan seksual tanpa ikatan perkahwinan.

Akhbar parti pemerintah Parti Pembangunan dan Keadilan (PJD), Attajdid, turut mengecam cara golongan liberal berhujah dalam isu berkenaan. - AFP

sumber

0 komentar: