Minggu, 25 Maret 2012

IRAQ - Gejala Murtad Melanda

ATAS alasan memerangi keganasan serta menyembunyikan senjata pemusnah besar-besaran (WMD), dua negara Islam Afghanistan dan Iraq diserang tentera Amerika Syarikat (AS) selepas peristiwa serangan pengganas terhadap Menara Berkembar World Trade Centre di New York, pada 2001.

Malangnya selepas kedua-dua negara itu dijajah serta disebarkan dakyah kepentingan demokrasi kepada penduduknya, sehingga kini tiada sebarang perkembangan signifikan yang berlaku.

Keadaan masih porak-peranda malah segala janji bantuan kewangan untuk membangunkan semula negara itu tidak nampak bayangnya.

Rejim Saddam Hussein telah ditumbangkan namun sehingga kini bantuan berbilion-bilion dolar yang dijanjikan AS yang turut memaksa negara lain seperti Jepun, China dan Korea Selatan menghulur sama, tidak kelihatan.

Hakikatnya, rakyat Iraq dibiarkan melata tanpa arah tuju dalam mencari erti keamanan di sebalik kehidupan rakyatnya yang terus sengsara.

Dalam suasana genting untuk meneruskan hidup, dua negara Islam ini sebaliknya mula didatangi oleh kumpulan pendakwah Kristian.

Mereka mengambil kesempatan daripada kekeliruan rakyat negara itu yang hidup terhimpit akibat kemiskinan, peperangan dan keadaan politik yang tidak stabil.

Dilaporkan mubaligh AS, telah menyelit masuk di kalangan umat Islam Iraq secara sulit dan menyamar sebagai petugas agensi bantuan kemanusiaan.

Kini dikatakan terdapat lebih 900,000 penganut Kristian di Iraq mewakili hampir empat peratus daripada 25 juta penduduk negara itu.

UmpanPenduduk Iraq khususnya anak-anak yatim yang bersepah di jalanan selain orang tua yang menduduki pusat rawatan dilaporkan kini dipikat dengan tawaran-tawaran hebat.

Sukar untuk rakyat yang menderita kesempitan hidup untuk menutup mata dengan wang ringgit yang ditabur walaupun mereka mungkin sedar ia suatu umpan.

Walaupun terdapat penduduk Iraq yang memeluk agama itu sejak sekian lama, namun ia hanya golongan minoriti yang dilayan dengan baik semasa di bawah pentadbiran Saddam Hussein.

Namun kini berikutan tawaran kewangan dan pelbagai lagi hadiah dan sumbangan yang boleh diperolehi jika mereka memeluk Kristian, dalam keadaan tersepit dan tertekan, mereka yang lemah akidah dengan mudah akan tertarik dengan tawaran sebegini.

Inilah antara padah yang terpaksa ditanggung akibat penjajahan era baru yang turut membawa sama agenda tersurat dan tersirat pihak Barat.

Walaupun mungkin belum mencecah tahap serius, tetapi kisah sebegini umpama berita buruk yang perlu diterima oleh umat Islam apabila kehilangan kuasa.

Dalam keadaan masyarakat Islam terhimpit dan terseksa akibat kemiskinan dan pergolakan yang sengaja dicipta oleh Barat, sudah tentu akan ada pihak yang mengambil kesempatan.

Keadaan yang menimpa umat Islam di Afghanistan dan Iraq, perlu dijadikan iktibar oleh umat Islam di negara ini.

Sekiranya mereka terus alpa dan hanyut untuk menjayakan cita-cita peribadi dengan mengetepikan nasib masa depan agama, bangsa dan negara, tidak mustahil keadaan yang berlaku di dua negara bergolak itu akan diimport masuk ke negara ini.

Tatkala itu, menangis air mata darah sekali pun tidak akan membawa apa-apa makna!

sumber

0 komentar: