IBU kepada seorang sukarelawan pertahanan Muslim yang mati ditembak militan dalam pembunuhan terbaru di Narathiwat, berdiri dekat tempat kejadian ketika anggota polis menguruskan jenazahnya, menyusuli pembunuhan lima orang Islam di Pattani.
Panglima tentera darat, Prayuth Chan-ocha meminta maaf kepada keluarga mangsa yang dibunuh di Pattani malam Ahad lalu dan memberi alasan renjer terbabit menghadapi tekanan untuk bertindak balas selepas pemisah melepaskan tembakan dan melontar bom tangan ketika menyerang sebuah markas tentera berdekatan.
Sejak ditempatkan di wilayah itu pada awal 2004 untuk melawan pergerakan pemisah yang masih belum dipastikan kekuatannya, anggota tentera Thailand dituduh banyak melakukan kesalahan termasuk mendera, menahan tanpa bukti, merogol dan membunuh.
Penduduk tempatan marah dengan ketidakadilan terhadap orang Islam manakala pihak berkuasa keberatan untuk menghukum anggota polis, askar dan pengawal bersenjata yang melakukan pembunuhan sesuka hati.
Seorang jurucakap tentera berkata, empat lelaki yang menjadi mangsa bunuh terbaru berada di belakang trak pikap apabila selaras raifal ditemui dan terbunuh apabila askar membalas tembakan ke arah lelaki bersenjata yang menembak mereka ketika memeriksa kenderaan itu.
Tembakan balas renjer tentera menyebabkan kematian mereka, manakala tiga orang lagi cedera dan penyerang bersenjata lari dari situ menggunakan motosikal.
Timbalan Perdana Menteri, Yuthasak Sasiprapha, bekas jeneral tentera, berkata siasatan lanjut perlu dibuat bagi memastikan sama ada renjer benar-benar bersalah.
“Jika pegawai kami memang bersalah, mereka perlu hadapi dakwaan ini dan meminta maaf,” katanya sambil menyatakan pampasan dan keadilan akan diberi kepada keluarga mangsa. – Reuters/AFP
sumber






0 komentar:
Posting Komentar