Rabu, 04 Januari 2012

PALESTIN - Rundingan Dengan Israel Tetap Berjalan

AMMAN 4 Jan. - Pertemuan pertama perunding damai Israel dan Palestin dalam tempoh lebih 15 bulan berlangsung dalam suasana 'positif' dan mereka bersetuju untuk bertemu lagi pada Jumaat ini.

Kedua-dua pihak bagaimanapun mengingatkan, pertemuan tersebut tidak menandakan rundingan damai sebenar disambung semula.

"Perbincangan dan suasananya adalah positif," kata Menteri Luar Jordan, Nasser Judeh kepada wartawan selepas pertemuan di Amman semalam antara ketua perunding Israel, Yitzhak Molcho dengan rakan sejawatannya dari Palestin, Saeb Erakat dan perunding Palestin, Mohammed Shtayyeh.

Amerika Syarikat (AS) turut menyambut baik 'perkembangan positif' itu selepas berbulan-bulan rundingan damai menemui kebuntuan disebabkan keengganan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada 2010 untuk melanjutkan tempoh pembekuan ke atas aktiviti pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat.

Judeh melahirkan sikap optimis dengan nada berhati-hati.

"Kedua-dua pihak menyuarakan komitmen untuk mencapai penyelesaian 'dua negara', kami tidak mahu menaruh harapan terlalu tinggi tetapi pada masa yang sama, kami tidak mahu memandang ringan kepentingan pertemuan ini.

"Pihak Palestin mengemukakan dokumen mengenai sempadan dan keselamatan, dan pihak Israel berjanji untuk mengkajinya dan memberikan jawapan," kata Judeh. - AFP

sumber

0 komentar: