Rabu, 11 Januari 2012

Ejen Israel Bunuh Saintis IRAN

TEHERAN 11 Jan. - Seorang saintis nuklear Iran terbunuh manakala dua cedera apabila sebutir bom magnetik yang diletakkan di sebuah kereta oleh penyerang bermotosikal meletup di luar universiti di sini, hari ini.

Menurut laman web beberapa buah universiti, saintis yang terbunuh itu dikenal pasti sebagai Mostafa Ahmadi Roshan yang bertanggungjawab melakukan kajian terhadap pengasingan gas di pusat uranium Natanz.

Timbalan Gabenor Teheran, Safar Ali Bratloo yang dipetik agensi berita ILNA berkata, ejen-ejen Israel terlibat dengan pembunuhan itu.

''Serangan itu dilakukan rejim Zionis kerana mahu menakut-nakutkan orang ramai dari menyertai undian pilihan raya yang dijangka berlangsung pada 2 Mac depan,'' ujarnya.

Sementara itu, kerajaan dan Parlimen Iran mengutuk serangan itu dengan menyifatkannya sebagai 'jajahan kuasa' oleh Israel dan Amerika Syarikat.

"Musuh-musuh Iran perlu tahu dengan tindakan sedemikian, mereka tidak akan dapat menghalang program saintifik negara ini," kata Timbalan Presiden Mohammad Raza Rahimi.

Letupan itu berlaku di luar timur kampus Universiti Allameh Tabatai di bahagian fakulti sains sosial.

Dalam pada itu, dua yang cedera dalam insiden tersebut dibawa ke hospital.

Mostafa sebelum ini melanjutkan pengajian di Universiti Sharif dalam bidang pengasingan gas bagi tujuan pengayaan uranium.

Pada 2010 dan 2011, tiga saintis Iran yang terlibat dalam program nuklear terbunuh apabila kereta yang dinaiki meletup.

Satu daripada serangan tersebut berlaku pada 11 Januari 2010, menyebabkan saintis Masoud Ali Mohammdi terbunuh. - AFP/DPA

sumber

0 komentar: