Selasa, 06 Desember 2011

MESIR - Gamis Ucap Tahniah kepada FJP

KUALA LUMPUR, 6 Dis: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) mengucapkan tahniah dan syabas kepada sayap politik Ikhwan Muslimin, Freedom and Justice Party (FJP) atas kemenangan dalam pusingan pertama Pilihanraya Dewan Rakyat Mesir.

Naib presidennya, Mohd Eikhwan M Ali berkata, jumlah 36.6% yang diperoleh FJP daripada 9.7 juta undi yang sah, diikuti oleh An-Nour Party sebanyak 24.4%, menunjukkan sokongan majoriti rakyat Mesir terhadap perjuangan kumpulan Islam untuk menegakkan Islam di negara tersebut.

Tambahnya, tindakan rakyat Mesir itu adalah hasil daripada kesedaran dan semangat untuk menjaga dan memelihara dasar-dasar Islam dan menyokong dasar Islam dalam perlembagaan Mesir seperti yang dinyatakan dalam Article 2 (Constitutional Declaration 2011) Islam is the religion of the state, and the Arabic language is its official language. The principles of Islamic law are the chief source of legislation.

“Tahniah kepada rakyat Mesir yang memberi penghormatan kepada perlembagaan negara untuk menjunjung tinggi kemuliaan Islam. Doa kami, semoga Allah merahmati kalian,” ujarnya dalam satu kenyataan.

PRU 13

Menurutnya, meneliti perkembangan politik Mesir dan dalam berhadapan dengan PRU 13, Gamis ingin menegaskan kesedaran rakyat bahawa kepimpinan negara mesti diterajui oleh pemimpin yang amanah dan dengan nilai kebebebasan dan keadilan, adalah menjadi asas kepada perubahan yang akan berlaku dalam masyarakat.

Katanya, perubahan tidak akan berlaku tanpa kesedaran itu sementara parti yang bertanding janganlah sesekali menjual prinsip perjuangan mereka demi mendapatkan restu dan kuasa yang singkat.

Beliau menambah, nilai amanah, adil dan benar adalah asas dan dasar yang harus dipertahankan, bertindak ‘sesuka hati’ atas nama demokrasi dan kebebasan akan merosakkan masa depan agama, bangsa dan negara.

Katanya lagi, serangan pemikiran ke atas generasi muda, dengan menyebarluaskan kefahaman hak individu sebagai satu yang sacred, tanpa adanya pengaruh agama di dalamnya, terus dilakukan oleh pihak-pihak tertentu.

“Justeru, generasi muda ini, harus dibangun dengan penguasaan ilmu dan kefahaman beragama, supaya lahir generasi muda yang mempunyai nilai jati diri dan iman yang tinggi, bukannya dicandu dengan hiburan yang melalaikan dan gaya hidup yang merosakkan,” ujarnya.

Beliau menambah, dakwah dan kebebasan untuk menyebarkan fikrah Islam adalah prasyarat kepada kemenangan Islam.

Katanya, kuasa semata-mata tanpa ada dokongan masyarakat dan ummah tidak akan membawa kuasa itu kemana-mana.

Kerana itu, ujarnya penguasaan ke atas jiwa dan minda masyarakat harus dilakukan dengan agenda dakwah dan amar maaruf nahi munkar, bukannya atas nama ‘isu’ yang bersifat sementara.

“Kami mendoakan semoga Allah SWT menganugerahkan kemenangan kepada FJP dalam Pilihanraya Dewan Rakyat, Pilihanraya Dewan Negara dan Pilihanraya Presiden yang akan terus berlangsung itu.

“Kami juga mendoakan, semoga Allah SWT memberi kekuatan dan petunjuk kepada umat Islam di Mesir, dan juga Malaysia, bagi mengharungi hari-hari penentu yang akan menyerlahkan keamanan, kebebasan dan keadilan, yang didasari agama Islam,” ujarnya.

sumber

0 komentar: