Kamis, 22 Desember 2011

IRAQ - Bom di Baghdad, 63 Terbunuh

BAGHDAD 22 Dis. - Sekurang-kurangnya 63 orang maut dalam serangan bom di sekitar Baghdad semalam, ketika Iraq menghadapi krisis politik di peringkat pemimpin utama kerajaan.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Ziad Tariq berkata, 63 orang terbunuh dan 179 orang lagi cedera dalam 11 serangan bom di sekitar ibu negara Iraq itu.

Pegawai dan koresponden AFP berkata, serangan itu mencatatkan angka kematian tinggi ekoran dilancarkan ketika waktu puncak orang ramai keluar ke tempat kerja.

''Serangan itu dilancarkan di Allawi, Bab al-Muatham, Karrada, Adhamiyah, Shuala, Shaab, Jadriyah, Ghazaliyah, Al-Amil and Dura,'' kata pegawai.

Serangan itu berlaku ketika ahli politik Iraq berbalah berhubung pengeluaran waran tangkap ke atas Naib Presiden, Tareq al-Hashemi.

Perdana Menteri, Nuri al-Maliki mendesak pihak berkuasa Kurdistan menyerahkan pemimpin Sunnah itu yang dilaporkan bersembunyi di kawasan autonomi berkenaan.

Nuri juga menggesa Timbalannya, Saleh al-Mutlak yang juga dari blok Iraqiya seperti Tareq, dipecat selepas beliau menyifatkan kerajaan pimpinan puak Syiah itu mengamalkan kepimpinan diktator.

Dalam pada itu, Iraqiya memboikot Parlimen dan Kabinet dan Nuri mengancam menggantikan menteri-menteri dari blok itu dalam kerajaan perpaduan yang berusia setahun tersebut. - AFP

sumber

0 komentar: