Minggu, 04 Desember 2011

Harga Minyak Boleh Jadi RM250 Dollar 1 Tong

TEHERAN 4 Dis. - Harga minyak akan melonjak ke paras AS$250 (RM750) setong jika Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan baru terhadap Iran, kata ketua suruhanjaya ekonomi Parlimen Iran, Arsalan Fathipour.

EU pada Khamis lalu meluaskan senarai sekatan terhadap firma-firma dan individu di Iran dan memberi amaran langkah-langkah tambahan sedang dipertimbangkan terhadap sektor kewangan dan minyak Teheran.

"Sekiranya AS dan beberapa negara Eropah mengenakan sekatan ke atas sektor minyak dan gas kita, harga minyak global akan mencecah AS$250 setong," kata Fathipour, menurut laporan akhbar Keyhan, hari ini.

Dalam pada itu, Kongres AS sedang menimbangkan rang undang-undang yang disasarkan terhadap bank pusat Iran yang menjadi hab bagi menerima bayaran untuk eksport minyak, meskipun White House bimbang Iran mungkin mendapat faedah jika harga minyak melonjak.

Sekatan-sekatan yang dipertimbangkan itu, selain sekatan yang diumumkan oleh AS, Britain dan Kanada pada 14 November lalu, bertujuan untuk menekan Iran supaya menghentikan kegiatan nuklearnya yang kontroversi.

Harga minyak kelmarin ditutup pada paras AS$100.96 (RM300) setong bagi minyak mentah 'West Texas Intermediate' dan AS$109.94 (RM329) setong bagi minyak mentah 'Brent North Sea'.

Pasaran dipengaruhi oleh ketegangan yang meningkat berhubung Iran, iaitu pengeluar kedua terbesar OPEC selepas Arab Saudi, dan situasi ekonomi di AS dan Eropah.

"Amerika dan beberapa negara Eropah mahu meletakkan sekatan ke atas industri minyak dan gas kita dalam agenda mereka.

"Namun menyebut tentang sekatan sahaja sudah cukup untuk merangsang pasaran minyak dunia dan menyebabkan harga meningkat," kata Fathipour.

China, EU, India, Jepun, Korea Selatan dan Turki adalah pelanggan utama bagi eksport minyak Iran. - AFP

sumber

0 komentar: