KAHERAH 25 Nov. - Majlis Tentera Mesir melantik bekas Perdana Menteri, Kamal al-Ganzouri (gambar) untuk memimpin kerajaan peralihan.
Media rasmi, semalam melaporkan majlis itu turut mengumumkan bahawa pilihan raya akan diadakan pada minggu depan seperti yang dijadualkan.
Kabinet sebelum ini meletakkan jawatan pada awal minggu ini ekoran demonstrasi yang mendesak peralihan kuasa kepada kerajaan awam disegerakan.
Kamal, 78, merupakan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Presiden, Hosni Mubarak dari 1996 hingga 1999.
Majlis Tentera Mesir yang berkuasa sejak Februari lalu selepas Mubarak digulingkan berkata, mereka akan menyerahkan kuasa sebaik-baik kerajaan awam dipilih melalui pilihan raya itu.
''Ia penting untuk melaksanakan pilihan raya Parlimen seperti yang dijadualkan dalam tiga fasa berakhir Januari ini,'' kata majlis itu pada sidang media yang turut dihadiri Suruhanjaya Pilihan Raya, semalam.
Kamal dijangka membentuk satu kerajaan peralihan yang akan berkuasa selama beberapa bulan sehingga kerajaan awam baru dilantik.
Majlis Tentera Mesir dilaporkan mengalami kesukaran untuk mencari calon sesuai ekoran kebanyakan ahli politik memantau masa depan pasca-Kabinet dan pemilihan Presiden, serta enggan menerima sebarang peranan dalam kerajaan peralihan.
Kamal meletakkan jawatan pada 1999 ketika inisiatif penswastaan dan liberalisi kehilangan momentum dan krisis mata wang yang menghilangkan keyakinan pelabur asing.
Ahli-ahli Parlimen juga menuduhnya memimpin kerajaan secara autoritarian. - dpa






0 komentar:
Posting Komentar